Wednesday, April 16, 2008

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1429H

Mudir, Guru-guru dan pelajar sedang berselawat ke atas nabi
Ustaz Ilyas Ahmad (Pak Su Li) sedang menyampaikan ceramah

17hb Mac 2008 - MTS telah mengadakan sambutan bagi memperingati hari kelahiran junjungan besar nabi Muhammad SAW. Program bermula sebaik azan maghrib berkumandang. Guru dan pelajar berbuka puasa secara berjamaah. Selepas solat maghrib, satu ceramah disampaikan oleh Ustaz Ilyas Ahmad atau lebih tersohor dengan panggilan Pak Su Li.
Selain sambutan maulid, pihak MTS juga turut menjemput beberapa orang guru yang telah berpindah ke sekolah lain. Iaitu Ustaz Muhammad Daud bin Awang, Ustaz Khairi Deraman, Cikgu Fatmee dan Cikgu Wan Rashidah. Seorang wakil guru telah berucap sebelum upacara menyampaikan hadiah disempurnakan oleh mudir MTS.
Setelah itu, solat isyak didirikan dan sebaik selesai solat majlis berzanji dimulakan. Mudir dan ustaz Wan Hilmi terlibat dalam membacakan wirid Berzanji. Kemudian diteruskan dengan selawat beramai-ramai. Dua orang cikgu iaitu Cikgu Hamidi dan Cikgu Nordin telah mengagihkan bunga rampai kepada semua pelajar yang berselawat.
Sebelum program dijalankan, Ustaz Shafawi selaku pengarah program Maulidurrasul bagi 1429 Hijrah telah merangka ahli jawatankuasa ‘segera’ bagi mengadakan program tersebut. Dalam kesibukan masa dan juga susunan program yang padat, beliau telah bermesyuarat dengan beberapa guru bagi menjayakan sambutan maulidurrasul.
Petang sebelum program bermula, kelihatan guru perempuan sibuk menyiapkan hadiah dan tempat hidangan. Manakala guru lelaki turut menyibukkan diri dengan tugas masing-masing. Semoga program ini akan menambahkan lagi rasa erat dan mahabbah dikalangan warga MTS.
Semoga ia mampu memberi impak terbaik kepada pelajar generasi Al-Quran.



No comments: