KEM INJEKSI AL-QURAN 2007 (KIARA 07)
23hb Disember 2007—Sebelum berakhirnya tahun 2007, pihak sekolah telah mengadakan Kem Injeksi Al-Quran (KIARA) kepada pelajar yang telah tamat darjah enam. Program ini disasarkan kepada pelajar yang akan melangkah ke tingkatan satu. Ia sebagai satu pendedahan bagaimana kehidupan di asrama dan juga kehidupan penghafaz Al-Quran. Kem ini dijayakan oleh 5 orang penggerak iaitu Ustaz A. Ubaidillah bin Alias sebagai pengarah, Ustaz Mohd Rozeli bin Yahya selaku setiausaha, manakala Ustaz Abdul Hadi Haimi, Mohd Hafizul bin Mohd Sis dan Mohd Zulkhairi bin Esa selaku fasilitator.
(Peserta Menerima sijil dan tauliah khatam Yasin daripada penolong kanan 1)
Antara pengisian program KIARA 07 ialah menghafaz surah Yasin, ceramah kefahaman Al-Quran, Bengkel Fatihah dan Solat, Pertandingan Futsal, Malam Kebudayaan & Kesenian Islam dan Recall Keinsafan. Tiga orang peserta mithali turut dipilih dalam program ini. Seramai 29 peserta telah menyertai kem KIARA bermula hari pertama, dan bertambah pada hari kedua sehingga menjadi 32 orang. Seramai 9 orang berjaya menamatkan hafazan surah Yasin dan mendapat tauliah daripada pihak KIARA. Majlis penutup dirasmikan oleh Ustaz Aubaidillah bin Yusoff, Penolong Kanan 1.
(Wajah peserta KIARA 07)
Sepanjang program KIARA berlangsung, fasilitator dan peserta memberikan komitmen yang cukup baik. Cuma beberapa masalah kecil seperti makanan yang kurang sedap dan penyediaan makanan tidak menepati waktu rehat. Walaupun begitu, peserta menganggap masalah itu sebagai latihan fizikal dan mental untuk menghadapi kehidupan di asrama.
Berita Dua
HARI TAKLIMAT KEMASUKAN PELAJAR BARU
1hb Januari 2008—Tirai pembukaan sessi 2008 telah dibuka dan ibubapa berbondong-bondong menghadiri perkarangan sekolah MTS bagi menguruskan pendaftaran anak-anak. Pagi Isnin lalu menyaksikan suasana begitu sesak dengan ibubapa dan pelajar. Suasana pagi itu mendung dan hujan turun renyai-renyai, namun tiada masalah yang mengganggu kelancaran program hari taklimat.
(Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat, Penolong Pengarah YIK sedang berucap ketika merasmikan program hari taklimat)
Pendaftaran bermula semenjak jam 8.00 pagi lagi dan beberapa orang guru khususnya guru pendaftaran iaitu Cikgu Rosnani bt Hassan dan Bendahari sekolah iaitu Ustaz Mohamad Daud bin Awang agak sibuk di bilik pendaftaran. Turut membantu juga guru-guru lain dalam menguruskan hari taklimat kemasukan.
Pada jam 11.00 pagi, majlis perasmian dijalankan dan Ustaz Wan Roslan bin Wan Hamat selaku Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan telah hadir bagi mewakili pengarah YIK. Dalam ucapan beliau menyatakan permintaan ke sekolah YIK meningkat sebanyak 100 % berbanding tahun lepas. Jika tahun 2007 mencatatkan permohonan sekitar 500 orang, 2008 telah mencatatkan permohonan 1000 orang lebih untuk masuk ke Maahad Tahfiz Sains.
Atas sebab itu, pihak YIK telah mewujudkan aliran tahfiz di beberapa sekolah Agama Arab yang lain. Tiga buah sekolah telah dipilih iaitu sekolah Arabiah di Pasir Mas, Maahad Nipah di Bachok dan Maahad Saniah Pasir Puteh. Tujuan dibuat aliran tahfiz di sekolah arab yang berlainan jajahan adalah bukti usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan sekolah tahfiz di setiap daerah.
Mengikut jangkaan awal, pelajar baru yang akan memasuki MTS sessi 2008 hanya 50 orang sahaja. Namun jumlah itu meningkat kepada 120 orang pelajar kerana desakan ibubapa. Ini adalah satu signifikan bahawa rakyat Kelantan khususnya dan Malaysia Amnya menginginkan satu pembaharuan dalam sistem pendidikan anak-anak mereka.
(Ibubapa sedang tekun mendengar)
Justeru, menjadi satu kewajipan kepada pihak YIK untuk mempastikan bahan asas seperti bilangan guru, kemudahan belajar dan rancangan pembelajaran disusun dengan baik. Agar harapan dan hasrat ibubapa yang memilih sekolah agama tahfiz ini tercapai.
Berita Tiga
GOTONG ROYONG PASANG KATIL DAN PERABOT
1 Januari 2008 adalah tarikh keramat apabila pihak sekolah MTS dan juga ibubapa pelajar baru sesi 2008 turut bekerjasama memunggah barang dan memasang katil di asrama anak-anak mereka. Sebaik sahaja selesai urusan pendaftaran dan perasmian hari taklimat kemasukan pelajar baru, sebuah lori tiba di perkarangan MTS dengan membawa muatan berupa katil, bantal dan tilam.
Sekitar jam 12.00 tengahari bermulalah aktiviti memunggah dan memasang katil di empat buah dorm baru iaitu dorm 10, 11, 12 dan 13. Guru-guru, pelajar lama dan baru serta ibubapa saling bekerjasama untuk mempastikan peralatan yang baru sampai itu mampu digunakan untuk kemudahan anak masing-masing.
Kelewatan barang-barang ini tiba adalah disebabkan ketidakpastian pihak sekolah terhadap jumlah sebenar pelajar baru yang akan tiba pada hari itu. Memandangkan permohonan ibubapa yang terlalu mendesak, maka jumlahnya semakin meningkat sedikit demi sedikit. Disebabkan itulah peralatan juga lewat tiba kerana pertambahan pelajar.
Berita Empat
MINGGU ORIENTASI –JALIN MAHABBAH PELAJAR BARU
2hb Januari 2008 adalah tarikh permulaan minggu orinetasi pelajar baru. Berbagai agenda diatur dan disusun sebagai titik-tolak pelajar baru memulakan kehidupan sebagai penghafaz Al-Quran.
Program yang diketuai oleh Ustaz Wan Fakhrurazi bin Wan Mahmood berjalan dalam beberapa bentuk pengisian. Iaitu ceramah motivasi pengurusan diri, ceramah persediaan menghafaz Al-Quran, bengkel dan taklimat berkaitan badan-badan penting di MTS. Pada hari pertama lagi, peserta diberi peluang berkenalan dengan semua guru.
Guru-guru memberikan komitmen yang terbaik sepanjang program berjalan. Ada yang mengambil tugas menguruskan kewangan, hadiah dan juga acara peserta. Majlis perasmian pembukaan dirasmikan oleh tuan Mudir sendiri. Manakala majlis penutup pula dirasmikan oleh Ustaz Azhar bin Salleh selaku Penolong Pengarah, Hal Ehwal Murid (HEM), YIK.
Ustaz Azhar ketika merasmikan program penutup yang berlangsung pada 6 Januari berkata, sewaktu beliau ingin bertolak menghadiri program ini masih ramai ibubapa yang datang ke pejabat HEM. Ada yang merayu dan memohon agar anak mereka diberikan tempat di MTS. Ada yang turut menangis dan beremosi ketika membuat permohonan. Namun, beliau cuba memberikan respon terbaik kepada seluruh ibubapa tersebut.
(Ustaz Azhar Salleh selaku Pen. Pengarah Hal Ehwal Murid, YIK menyampaikan hadiah)
Beliau turut menasihatkan agar pelajar baru MTS yang mendapat peluang memasuki sekolah ini menghargai peluang yang diberikan serta meningkatkan daya usaha. Jangan menganggap ianya sebagai satu peluang yang biasa sahaja.
(Peserta sedang asyik memberikan perhatian dalam satu sessi minggu orientasi)
Setelah berakhir ucapan perasmian, majlis penyampaian hadiah telah dijalankan. Kumpulan Abu Bakar telah menjadi johan persembahan Kebudayaan. Manakala kumpulan Umar menjuarai kejohanan Futsal MTS. Peserta mithali pula disandang oleh Akmal Azam bin Ramzi. Tahniah kepada semua, kekalkan prestasi masing-masing. Manakala yang belum berjaya, teruskan usaha lagi.
Berita Lima
ZIARAH BEKAS PELAJAR
(Sidang ramah mesra)
(Bergambar kenangan antara bekas pelajar MTS dan guru-guru)
Akhir tahun 2007. Pihak buletin Al-Qiadah sempat mengambil peluang bergambar bersama bekas pelajar MTS Berangan. Benar, dahulu MTS Berangan mempunyai pelajar perempuan namun sekarang semuanya telah berpindah ke Tanah Merah. Justeru, bekas pelajar ini telah mengadakan lawatan mahabbah ke tempat mereka mula-mula menghafaz Al-Quran. Mereka juga datang untuk memberikan penghargaan kepada bekas guru. Mereka turut hadir bersama guru pengiring. Mahu tahu berapa jumlah mereka? Sila bilang sendiri.
Berita Enam
PELAJAR MITHALI MINGGU ORIENTASI
Walaupun usia pelajar ini di MTS baru mencecah minggu kedua, namun dia telah berjaya mencuri hati pengarah Minggu Orientasi dan sekaligus dinobatkan sebagai peserta mithali sepanjang minggu orientasi tersebut.
Beliau adalah anak kelahiran negeri perak, iaitu Akmal Azam bin Ramzi. Bapanya Ramzi bin Che Mohd adalah seorang jurutera, manakala ibunya Aishah bt. Berahim adalah guru di Sekolah Menengah Methodis ACS.
Beliau menetap di alamat Lot 137A Jalan Persiaran Bukit Meru 5, Meru Heights 30020 Ipoh, Perak. Akmal adalah anak kedua daripada empat orang adik beradik. Beliau memiliki sikap dan juga akhlak yang baik. Antaranya tahu menjaga ketepatan waktu, sentiasa memberikan komitmen terhadap setiap sesi pembelajaran. Juga tekun dalam membuat sesuatu kerja.
Semua sikap ini kemungkinan wujud dalam diri pelajar yang lain. Oleh itu, adalah menjadi satu tuntutan kita saling berlumba mencari kebaikan.
No comments:
Post a Comment