Wednesday, January 9, 2008

BERITA 2007

LAWATAN PERTAMA KE PULAU LANGKAWI

Pada 31 Ogos 2007 yang lalu, disaat Malaysia bergema dengan laungan kemerdekaan, disaat itulah seramai 35 orang pelajar yang diiringi oleh 5 guru pengiring telah berangkat ke Pulau Langkawi. Pada malam 31 ogos, mereka telah bertolak menaiki sebuah bas. Kata ustaz Abdul Hadi, bas tersebut agak kurang selesa dan banyak kerusi longgar dan ‘bergogek’. Lawatan ini adalah melibatkan pelajar yang telah menamatkan sukatan hafalan tahun ini. Justeru, demi meraikan kecemerlangan hafalan mereka, pihak MTST telah mengadakan lawatan sambil belajar ini. Ia dianggap sebagai aktiviti ‘release tension’ sempena dengan musim cuti hari Kemerdekaan.

Walaupun keadaan bas agak uzur dan primitif, perjalanan tetap diteruskan dan mereka selamat sampai ke destinasi. Antara tempat yang mereka lawati ialah Muzium Padi, Underwater World, Kereta Kabel di Bukit Tinggi, Telaga Air Hangat. Ustaz Abdul Hadi berkata ketika ditemui, tempat penginapan agak kurang selesa sehingga beberapa pelajar bermasalah untuk tidur. Namun, apa yang menarik ialah makanan yang disediakan kepada guru pengiring agak istimewa.

Antara tempat yang seronok dilawati ialah kedai coklat seperti Coco Valley. Katanya pelajar banyak menghabiskan duit membeli coklat di sini. Malangnya, beberapa orang pelajar terpaksa menggigit jari sendiri apabila mereka membawa duit sekadar cukup makan. Satu insiden kecil turut berlaku di tempat Kereta Kabel. Apabila seorang pelajar telah kehilangan kad/tiket kereta kabel. Mengikut laporan, pelajar itu sibuk shopping ketika taklimat diberikan. Sehingga dia terlupa untuk memegang kad. Polis yang mengawal itu terpaksa mencari pelajar tersebut di atas dan menegur di atas kelalaiannya.

Apa yang penting ialah pelajar perlu sentiasa memberi perhatian dalam setiap perkara. Tidak kira ketika di sekolah atau di luar sekolah. Tahniah kepada yang telah pergi, semoga mendapat peluang sekali lagi tahun depan.


HARI KELUARGA MTS 2007


24hb Ogos, Info Galeria Tengku Anis - Setelah merancang hampir dua minggu, akhirnya pihak kakitangan sekolah MTST telah mengadakan hari keluarga yang diadakan di Taman Infogaleria Tengku Anis di tepi pesisiran pantai Tumpat.

Kehadiran guru berserta ahli keluarga telah menjadikan suasana program bertambah meriah. Walaupun ada beberapa orang guru yang tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan, namun program berjalan dengan baik. Sebanyak 12 acara telah dipertandingkan sama ada acara untuk kanak-kanak, kaum lelaki dan kaum wanita.

Antara acara yang paling mendapat sambutan ialah acara boling padang dan acara melambung belon berisi air. Program yang bermula pada jam 9.00 pagi berjalan dengan lancar sehingga jam 12.30 tengahari. Setelah penyampaian hadiah dan cabutan bertuah, semua guru dan ahli keluarga sempat menjamu selera di pesisiran pantai. Kita berdoa pada tahun hadapan, pihak sekolah akan mampu mengadakannya sekali lagi.


BULAN SOLAT & AMBANG RAMADHAN

25hb&26hb Ogos, Sabtu - Pihak PIBG MTST dan kerjasama guru-guru MTST telah berjaya mengadakan program Penghayatan Bulan Solat dan Ambang Ramadhan di perkarangan Maahad Tahfiz Sains Tumpat. Selepas solat maghrib berjemaah, majlis dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Tn Hj Sahiful Bahari bin Abdul Rahman selaku Yang Dipertua PIBG Maahad Tahfiz Sains.


Setelah itu, agenda utama dimulakan iaitu Forum Perdana yang dipengerusikan oleh ustaz A. Ubaidillah Alias. Manakala panelisnya ada dua orang tokoh yang dijemput khas daripada Kota Bharu, iaitu Al-Fadhil Al-ustaz Hj Mohammad bin Mustofa (Ketua Pengelola Halaqat Negeri Kelantan) dan Al-Fadhil Al-Ustaz Hj Saibon bin Ismail (Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jab. Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan). Kehadiran mencecah hampir 500 orang dengan kehadiran ibubapa dan orang kampung.

Majlis ini juga dihadiri oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Abdul Aziz bin yusuf (Pengelola Halaqat Kawasan Tumpat). Pada keesokan harinya, pihak sekolah mengadakan beberapa pengisian yang berkait dengan rukun solat dan pembetulan terhadap bacaan surah Fatihah. Salah seorang tenaga pengisinya ialah Al-Fadhil Ustaz Nukman. Program ini berakhir pada jam 3.00 petang.

No comments: